Tuesday, February 21, 2012

Tiada duka yang abadi

Aku pernah merasakan bahawa hidup ini tiada lagi berguna dan aku seolah-olah kehilangan arah tujuan di saat keringat yang tertitis tidak lagi memberikan apa-apa erti. 
Aku juga pernah merasakan hidup ini kelam, tiada yang bercahaya, hati yang sebak, titisan air mata yang tidak lagi boleh dikawal mengalir bagaikan arus sungai lajunya. 
Harapan dan impian ku selama ini hancur dan berkecai satu persatu. Namun aku tak patah semangat......aku tak hilang keyakinan untuk terus berjuang kerana aku tahu Tuhan menguji ku kerana DIA yakin aku dapat mengharunginya. 
Memang sakit...memang perih namun di sebalik semua itu aku temui kekuatan dan dari situ juga aku kenali sifat-sifat manusia yang mana satu kawan dan yang mana satu lawan. 
Mungkin itu juga ujian Tuhan untuk menguatkan hati ku. Masaku banyak aku habiskan dengan membaca buku-buku yang berkaitan dengan motivasi dan buku-buku agama. Alhamdulillah, akhirnya aku dapat merawat hatiku sendiri selain aku mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Aku temui kata-kata penawar ini melalui pembacaan-pembacaanku. Ayat yang sangat ringkas tapi begitu bererti buatku.

"Hatimu itu tidak perlulah terlampau sensitif. Andai ada yang melukaimu dengan bicaranya dan perbuatannya, maafkan sahajalah dan berlapang dada dengan kekurangannya.  Dengan memaafkan dia, ia sebenarnya mengubat hatimu sendiri malah menjauhkan hatimu dengan segala perasaan dendam & busuk hati. Forgive & forget . 
Berterima kasihlah kepada setiap cebisan pengalaman yang pernah dilalui. Yakinilah apa yang terjadi itu adalah yang terbaik buat diri. Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya…
Lihatlah di sekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu;  sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus harapan, senyum yang kau berikan dan air mata yang kau titiskan, simpan…jadikan tauladan;  segala yang kau pandang dan dengar, simpan…buat pedoman.
Setiap ujian yang datang itu adalah berdasarkan kekuatan kita. Malah hadirnya juga bukan sia-sia. Seribu satu hikmah yang terlindung di sebaliknya, yang bakal memajukan kita ke hadapan selangkah demi selangkah andai kita mengambil pengajaran dan ikhtibar darinya".

“ Tidak ada orang yang paling menderita melebihi orang yang tumbuh tidak menjadi dirinya sendiri, tumbuh tidak menjadi jasadnya sendiri dan tidak menjadi fikirannya sendiri ”


SEMOGA HARI INI LEBIH BAIK DARI SEMALAM