Friday, May 21, 2010

~Selamat datang NUR AMIRA ALEESYA~

Nur Amira Aleesya
Khamis ~20 Mei 2010 ~ jam 8.30 pagi sewaktu aku sedang bermesyuarat di pejabat, handphone ku berbunyi namun tidak aku hiraukan. Pada deringan kali ketiga baru lah aku bangkit untuk menjawab panggilan, rupa-rupanya panggilan dari anak aku yang kedua. Dia memberitahu yang isterinya (anak menantuku) dah keluar tanda nak bersalin dan telah pun dihantar ke hospital. Dia dalam perjalanan dari tempat kerja nak ke hospital untuk menemui isterinya. Aku yang mendengar khabar ini mula merasakan tak tentu. Aku kehilangan fokus dan tumpuan. Ingatan ku menerawang mengingati anak menantu ku yang sedang menahan sakit. Dulu sewaktu dia sakit nak bersalin anak yang pertama aku ada disisinya dan sepanjang dia didalam ruangan bersalin aku, anak ku dan ibunya setia menunggu dia dikoridor wad bersalin. Sewaktu cucu ku lahir ke dunia, aku di antara orang yang pertama memberikan salam dan mengucup pipinya. Kini aku jauh dan aku benar-benar merasakan kesedihan ini.

Jam 10 pagi aku cuba call anak menantu aku, dia menjawab panggilan aku dengan nada suara yang menahan kesakitan. Ada nada sebak dihujung suaranya bila mendengar suara ku. Aku menahan kesedihan dan bertanya apa khabar...? Dia menjawab sihat dan aku bertanya dia kenapa bila mendengar esakan kecik dihujung suara. Dia memberitahu aku yang dia mula terasa gesa nak bersalin. Aku jadi rawan. Kalaulah aku ada magik dan boleh berada dengannya saat itu, alangkah baiknya. Aku memujuknya agar bersabar dan meminta dia banyakkan berdoa dan membaca surah-surah al-quran agar memudahkan dan menenangkan dia. 


Menanti masa berlalu terasa lambat sekali. Jam 2 lebih aku call lagi dia. Dia masih menahan sakit yang teramat sangat. Aku menghubungi anak aku dan dia masih dalam perjalanan ke hospital. Jam 3.00 aku hubungi lagi anak ku dan dia mengatakan yang dia sudah berada di hospital dan isterinya sudah dibawa ke labour room. Aku tak henti-henti memanjatkan doa ke hadrat Allah S.W.T agar menantuku kuat semangat dan selamat melahirkan cucuku yang kedua.


Jam 3.40 ptg, anak ku menelefon memberitahu yang isterinya sudah selamat bersalin. Aku sangat bersyukur dan menurut anak ku, Isteri dan anaknya berada dalam keadaan yang sihat. Cuma jantina bayi belum di ketahui kerana ibu dan anak masih berada dalam labour room. Aku sudah boleh mengukir senyuman dan kawan-kawan kat pejabat mengucapkan tahniah di atas kelahiran cucu yang kedua. Aku bersyukur kerana aku diantara orang yang beruntung kerana diberikan kesempatan untuk menjadi seorang NENEK dalam usia yang masih muda dan sihat. Masih diberikan kekuatan untuk melihat cucu-cukuku membesar didepan mata. Insyallah.


Petang setelah waktu masa pejabat sudah berakhir, aku pulang dan menghubungi anak ku. Dia memberitahu yang baby kedua ini seorang Puteri..sama seperti kakaknya. Bila aku bertanyakan siapa namanya "NUR AMIRA ALEESYA" itulah nama yang diberi. Aku terharu kerana aku yang mencari nama itu dan memberikannya pada mereka 3 minggu yang lalu. Mereka masih mengekalkan nama AMIRA pada baby kedua ini kerana menurut mereka, mereka suka pada nama itu. Nama itu adalah nama pena yang aku gunakan dalam dunia penulisan. NUR AMIRA ALEESYA membawa pengertian CAHAYA PUTERI YANG DI LINDUNGI. Semoga nama ini akan membawa kebaikan kepada cucu aku yang kedua ini. Agar menjadi anak yang solehah dan menjadi kebanggaan keluarga.


Aku agak terkilan kerana aku belum lagi melihat wajah cucuku yang kedua ini. Teringin sangat nak memeluk dan mencium dia. Semoga akan diberikan kesempatan untuk ku mendakap dan memeluk NUR AMIRA ALEESYA....buahati nenda....Selamat datang sayang.

Buahati Nenda

Saturday, May 15, 2010

PERPISAHAN INI.....

Sesungguhnya bukan mudah untuk melupakan sesuatu...bukan mudah untuk membuang jauh insan yang pernah hadir dalam hidup kita...walaupun hanya seketika namun tetap meninggalkan sekelumit kenangan. Mungkin masa akan berlalu namun kenangan tetap akan hadir...dan seringkali hadirnya memori itu pasti disulami rindu, yang akan mengusik ketenangan jiwa...


Namun sebagai manusia kita juga perlu menerima hakikat bahawa kehidupan ini tidak selalunya seindah seperti yang diimpikan...sesungguhnya mereka yang selalu mendapat kebahagiaan dalam hidup bukanlah mereka yang selalu mendapat yang terbaik dalam hidup mereka tetapi mereka sebenarnya menjadikan setiap yang hal yang hadir dalam hidup mereka itu sesuatu yang baik..


Hidup ini terlalu singkat untuk kita habisi dengan ratapan dan penyesalan...terlalu pendek untuk kita tamatkan dengan kedukaan yang berpanjangan...kerana duka itu sesuatu yang mesti mengiringi setiap kebahagiaan...tanyalah manusia mana pun..siapakah yang tidak pernah mengalami kedukaan di sepanjang kehidupannya?? 


Kini aku mengerti...kelukaan dan kedukaan yang suatu masa dulu itu adalah penawar yang sangat mujarab untuk ku pada masa kini...menjadikan aku lebih tabah dan kuat...mengajar aku tentang erti kehidupan sebenar menjadikan aku seorang yang sangat bersemangat untuk menghadapi hari-hari seterusnya dalam hidupku...Tiada lagi duka di hati...akan aku hiasi wajah ku ini dengan sejuta keriangan dan kesyukuran kerana telah diberikan kesempatan untuk mengecap kebahagiaan walau pun hanya seketika. Pernah merasa memiliki dan dimiliki walau hanya sekejap cuma.


Oleh itu...pada mereka yang sedang berduka dan terluka...jangan dibiarkan diri terus dibelenggu awan gelap...carilah mentarimu...pohonlah pada Allah agar dipermudahkan dalam pencarian itu...Semoga suatu hari nanti akan kau mengerti sebagaimana aku mengerti akan kehidupan ini...

                                         

Saturday, May 8, 2010

Titip Rinduku Buat Ibunda.....

Kemilau peluh bersinar di wajah berbinar
Tak terpancar letih meski langkah tertatih
Kau sembunyikan ragu yang terus menghantu
Kau jaga pelita agar tetap bercahaya..

Warna hari kau susun dengan kasih
Warna kisah kau rajut dengan ikhlas
Warna cinta kau bingkai dengan doa

Rinduku ibunda…
Mungkin tak seluas ladang cinta yang kau semai
Mungkin tak sedalam kesabaran yang kau tanam
Mungkin tak sebesar harap yang kau simpan

Rinduku ibunda…
Tercurah lewat butir doa dalam sujudku
Tercurah lewat lantunan kalam-Nya kutitipkan untukmu
Tercurah lewat kesungguhan penuhi harapmu
Terkumpul dalam gumpalan kerinduan
Damailah ibunda di persemadian
Titip doaku buat ibunda tersayang