Friday, May 21, 2010

~Selamat datang NUR AMIRA ALEESYA~

Nur Amira Aleesya
Khamis ~20 Mei 2010 ~ jam 8.30 pagi sewaktu aku sedang bermesyuarat di pejabat, handphone ku berbunyi namun tidak aku hiraukan. Pada deringan kali ketiga baru lah aku bangkit untuk menjawab panggilan, rupa-rupanya panggilan dari anak aku yang kedua. Dia memberitahu yang isterinya (anak menantuku) dah keluar tanda nak bersalin dan telah pun dihantar ke hospital. Dia dalam perjalanan dari tempat kerja nak ke hospital untuk menemui isterinya. Aku yang mendengar khabar ini mula merasakan tak tentu. Aku kehilangan fokus dan tumpuan. Ingatan ku menerawang mengingati anak menantu ku yang sedang menahan sakit. Dulu sewaktu dia sakit nak bersalin anak yang pertama aku ada disisinya dan sepanjang dia didalam ruangan bersalin aku, anak ku dan ibunya setia menunggu dia dikoridor wad bersalin. Sewaktu cucu ku lahir ke dunia, aku di antara orang yang pertama memberikan salam dan mengucup pipinya. Kini aku jauh dan aku benar-benar merasakan kesedihan ini.

Jam 10 pagi aku cuba call anak menantu aku, dia menjawab panggilan aku dengan nada suara yang menahan kesakitan. Ada nada sebak dihujung suaranya bila mendengar suara ku. Aku menahan kesedihan dan bertanya apa khabar...? Dia menjawab sihat dan aku bertanya dia kenapa bila mendengar esakan kecik dihujung suara. Dia memberitahu aku yang dia mula terasa gesa nak bersalin. Aku jadi rawan. Kalaulah aku ada magik dan boleh berada dengannya saat itu, alangkah baiknya. Aku memujuknya agar bersabar dan meminta dia banyakkan berdoa dan membaca surah-surah al-quran agar memudahkan dan menenangkan dia. 


Menanti masa berlalu terasa lambat sekali. Jam 2 lebih aku call lagi dia. Dia masih menahan sakit yang teramat sangat. Aku menghubungi anak aku dan dia masih dalam perjalanan ke hospital. Jam 3.00 aku hubungi lagi anak ku dan dia mengatakan yang dia sudah berada di hospital dan isterinya sudah dibawa ke labour room. Aku tak henti-henti memanjatkan doa ke hadrat Allah S.W.T agar menantuku kuat semangat dan selamat melahirkan cucuku yang kedua.


Jam 3.40 ptg, anak ku menelefon memberitahu yang isterinya sudah selamat bersalin. Aku sangat bersyukur dan menurut anak ku, Isteri dan anaknya berada dalam keadaan yang sihat. Cuma jantina bayi belum di ketahui kerana ibu dan anak masih berada dalam labour room. Aku sudah boleh mengukir senyuman dan kawan-kawan kat pejabat mengucapkan tahniah di atas kelahiran cucu yang kedua. Aku bersyukur kerana aku diantara orang yang beruntung kerana diberikan kesempatan untuk menjadi seorang NENEK dalam usia yang masih muda dan sihat. Masih diberikan kekuatan untuk melihat cucu-cukuku membesar didepan mata. Insyallah.


Petang setelah waktu masa pejabat sudah berakhir, aku pulang dan menghubungi anak ku. Dia memberitahu yang baby kedua ini seorang Puteri..sama seperti kakaknya. Bila aku bertanyakan siapa namanya "NUR AMIRA ALEESYA" itulah nama yang diberi. Aku terharu kerana aku yang mencari nama itu dan memberikannya pada mereka 3 minggu yang lalu. Mereka masih mengekalkan nama AMIRA pada baby kedua ini kerana menurut mereka, mereka suka pada nama itu. Nama itu adalah nama pena yang aku gunakan dalam dunia penulisan. NUR AMIRA ALEESYA membawa pengertian CAHAYA PUTERI YANG DI LINDUNGI. Semoga nama ini akan membawa kebaikan kepada cucu aku yang kedua ini. Agar menjadi anak yang solehah dan menjadi kebanggaan keluarga.


Aku agak terkilan kerana aku belum lagi melihat wajah cucuku yang kedua ini. Teringin sangat nak memeluk dan mencium dia. Semoga akan diberikan kesempatan untuk ku mendakap dan memeluk NUR AMIRA ALEESYA....buahati nenda....Selamat datang sayang.

Buahati Nenda