Wednesday, September 8, 2010

Andai hidup ini banyak pilihan.....

     Alangkah baiknya andai hidup ini di suakan dengan berbagai-bagai pilihan yang mana setiap satunya menjanjikan kebahagiaan di akhir cerita seperti menonton sebuah cerekarama dikaca television.  Tentu kita tidak akan teragak-agak untuk memilih arah mana yang akan kita lalui kerana kita pasti disetiap pengakhirnya telah menanti kebahagiaan sebagai ending cerita.

Menjalinkan perhubungan memang sesuatu yang sangat di impikan oleh semua orang terutamanya kaum wanita.  Siapa yang tidak ingin disayangi, dikasihi dan dicintai...??  Aku yakin semua orang mahu merasakan kebahagiaan itu..kerana cinta dapat mengubah pahit menjadi manis, debu beralih emas, keruh menjadi jernih, sakit menjadi sembuh, derita menjadi nikmat dan kemarahan bertukar rahmat.
  
Begitulah saktinya kuasa cinta tapi mengapa masih ramai yang tidak dapat merasakan erti sebenarnya yang dinamakan cinta....kerana rasa cinta selari hadirnya dengan rasa cemburu.  Tidak dapat dinafikan, bila kita mencintai seseorang, kita akan sentiasa dibayangi oleh rasa cemburu dan curiga pada dirinya apa lagi bila dia pernah memiliki masa lalu yang sangat bermakna dan terlalu sukar untuk dia lupakan.  Aku percaya setiap orang punya cara yang berbeza untuk memperlihatkan kasih sayang pada pasangannya.  Ada jenis yang sangat memperhatikan, ada jenis yang acuh tak acuh dan ada jenis yang kuat kontrol  Bagi pandangan ku apa pun sikap yang kita tunjukkan pada pasangan kita itu.....itu adalah salah satu cara untuk kita menunjukkan yang kita sangat menyayangi dan menghargai pasangan kita.
  
Bila kita mencintai seseorang, perasaan kita juga akan menjadi sangat sensitif...mudah tersinggung...mudah terasa dan mudah berjauh hati.  Agaknya bila seseorang dah jatuh cinta, jiwa juga akan jadi semakin halus.  Lebih perihatin dan lebih fokus.  Cinta sesungguhnya dapat mengubah kehidupan seseorang kearah kebaikan dan juga sebaliknya sekiranya salah digunakan.  Hargailah rasa cinta dan kasih sayang yang wujud dalam diri kita.  Belajar menghargai insyallah kau juga akan dihargai.  Aku ingin mengongsikan serangkai kata-kata untuk renungan kita semua :

Orang yang terkuat bukanlah orang yang selalu menang dalam segala hal......Tetapi mereka yang tetap tabah ketika mereka jatuh...Entah bagaimana, dalam perjalanan kehidupan kita...Kita akan belajar tentang diri kita sendiri dan suatu saat kita akan menyadari bahawa penyesalan tidak seharusnya hadir dalam hidup ini dan sesungguhnya penghargaan abadi atas pilihan pilihan kehidupan yang telah kita buat yang seharusnya ada di dalam hidup ini...dan apabila kita hendak mengatakan sesuatu, renunglah mata di cermin dan lihatlah kedalam mata itu...di situ akan terpancar seluruh isihati...dan kebenaran akan terlihat disitu...
Baca dan renungkanlah ....

Dalam kehijauan suasana

Friday, September 3, 2010

Jeruk Limau Nipis

Jeruk Limau Nipis merupakan sejenis makanan yang membuatkan air liur kita menjadi kecur bila melihatnya.  Aku yakin semua orang suka makan jeruk limau nipis.  Mari kita belajar cara membuat jeruk ini.

Bahan-bahannya :
1 kilo limau nipis
1 kilo gula
600 gram garam
sebotol cuka
                                             
Limau nipis dibersihkan terlebih dahulu.  Lap dengan tuala bersih dan kemudian dicelur dengan air panas, kemudian potong 4 tapi jangan sampai putus,  Masukan dalam botol dan campur gula, garam kasar dan cuka.   Tutup dan letakkan didalam tempat yang tak dimasuki cahaya selama 3 bulan.

Jeruk Limau Nipis

Wednesday, September 1, 2010

Mee Rebus Special

Kalau orang tanya...antara mee dengan nasi... yang mana satu aku paling minat....?? Jawabku ialah mee...aku memang sangat gemar makan mee...samada mee goreng, mee rebus, mee bandung, mee hailam atau apa jenis mee. Untuk juadah berbuka petang ini, aku masak Mee Rebus Special. Aku namakan special kerana semua ada didalamnya...udang, daging, fish cake, telur rebus, tomato dadu, sayur sawi, hirisan lada, bawang goreng, daun sup dan rasanya yang sedap membuatkan aku jadi lupa pada diet ku seketika....huhu..alamat bertambah bulat ler aku nih.....Kalau nak kan resepi...nanti akan aku kongsikan.....sekarang jamu mata dulu dengan melihat gambar Mee Rebus Special yang aku sediakan. Mee Rebus ini memang tak menghampakan....sedap...berkhasiat dan mengenyangkan. Malam nih tak akan makan apa-apa lagi....dan untuk sahur besok hanya akan minum segelas susu soya suam dan kurma 3 biji.

Bahan-bahannya :
500 gram mee kuning dicelur
sedikit daging yang telah dihiris
15 ekor udang bersaiz sedang direbus dan amik air rebusan udang itu
2 tangkai daun sup yang dihiris halus
Sedikit bawang goreng
5 biji cili merah dihiris
3 keping tauhu goreng
2 biji telur rebus
2 biji limau nipis
1 biji tomato masak dipotong dadu
sayur sawi yang dicelur
3 keping fish cake dihiris
garam
gula
serbuk perasa
minyak masak

Bahan Kuah:
4 - 5 biji keledek direbus dan dilecekkan
2 - 3 biji ubi kentang direbus dan dilecekkan
2 sudu besar cili boh
2 sudu besar taucu
sedikit udang kering
6 ulas bawang putih
4 biji bawang merah
1 batang serai
Sedikit halia

Cara Memasaknya :
Blend bawang putih, serai dan halia. Panaskan minyak masak dalam periuk. Tumiskan bahan yang telah diblend dan cili boh hingga garing. Masukkan udang kering, dan taucu. Masukkan daging dan tomato yang telah dipotong dadu. Masak selama 2 minit. Kemudian, masukkan keledek dan kentang yang telah dilecek. Masukkan air rebusan udang mengikut kepekatan yang diinginkan. Campurkan fish cake yang telah dihiris dan akhir sekali udang. Rasalah garam, gula dan serbuk perasa. Biarkan hingga kuah mendidih. Matikan api, angkat dan bolehlah dihidangkan. Masukkan mee ke dalam mangkuk. Bubuh tauhu goreng, cili merah, daun sup, telur rebus. Tuangkan kuah mee rebus dan taburkan bawang goreng. Hidang bersama hirisan limau nipis. Bolehlah menikmati Mee Rebus Special.


Mee Rebus Special

Kailan Ikan Masin

Bahan-bahannya :
Seikat sayur kailan
3 ekor ikan gelama jeruk
6 biji cili api
4 ulas bawang putih
serbuk perasa
gula

Cara memasaknya :
Ikan gelama jeruk ditumbuk lumat dengan cili api. Bawang putih dicincang. Panaskan minyak. Tumis bawang putih hingga bangkit bau dan masukkan ikan gelama jeruk yang telah ditumbuk lumat tadi. Masukkan kailan. Bubuh serbuk perasa dan sedikit gula.  Bolelah dihidangkan.

Kailan Ikan Masin

Sambal Daging

Daging Sambal Petai memang kegemaran tamu aku Encik Faizal Abd Fathi tapi malangnya petai tidak dapat dikesan.  Agaknya bulan puasa ni sume orang nak masak petai.  Akhirnya aku masak juga Daging Sambal walau tanpa petai. Pada sesiapa yang nak mencuba resepi nih, dipersilakan.

Bahan-bahannya :-
Daging Tetel semangkuk
Bawang Merah 4 biji
Bawang Putih 6 ulas
Cili Boh 3 Sudu Makan
Cili Api 10 biji
Halia 5 cm
Serai 2 batang
air asam jawa atau air perahan limau (aku guna limau nipis)
garam
gula
serbuk perasa
2 sudu makan santan pekat
Minyak makan

Cara Memasaknya :
Tumbuk bawang merah, bawang putih, serai, halia , cili api dan cili boh hingga lumat.  Tumis bahan-bahan sehingga wangi dan masukkan daging tetel.  Masukkan air asam jawa atau air perahan limau nipis.  Bila daging tetel mula masak rasa garam gulanya dan masukkan 2 sudu santan pekat.  Masak sehingga pecah minyak.  Bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Sambal Daging

Daging Salai Masak Lemak Cili Api

Aku da lama teringin nak makan daging salai masak lemak cili api dengan belimbing buluh, masalahnya aku tak tahu dimana nak cari daging salai.....selalu gak aku bertanya dengan staff kat pejabat mana nak beli daging salai, ada yang kata kat pasar malam, ada yang kata kat pasar tani...aduyaii..aku jarang ketempat-tempat macam tu.  Hari Selasa 31 Ogos 2010, aku ke pasaraya Mydin untuk mencari petai.  Aku tak makan petai tapi aku bercadang nak masak sambal daging petai untuk seorang tamu yang akan berbuka puasa di rumahku.  Agaknya da rezeki aku kut, dalam aku melilau mencari petai, kawanku memanggil aku dan menunjukkan daging salai.  Aku pun terus membelinya.  Lain yang aku cari, lain plak yang aku jumpa.  Petai yang dicari tapi daging salai yang aku dapat.
Sampai rumah jer aku pun memulakan projek masak memasakku.  Teruja sangat nak masak daging salai nih.  Sesiapa yang nak mencuba resepi yang aku masak nih, silakan.  Memang sedap dan menyelerakan.  Walaupun aku tak dapat memasaknya bersama belimbing buluh, tapi aku menggantikan dengan ubi kentang.  Lain kali bila dah jumpa belimbing buluh, aku akan cuba masak daging salai masak lemak cili api dengan belimbing buluh pulak.

Bahan-bahannya :-
Daging salai yang telah dihiris dalam anggaran semangkuk
3 biji ubi kentang yang dipotong berbentuk baji (wedges)
Santan kelapa 1 cawan
bawang merah 2 ulas
bawang putih 4 ulas
halia 5 cm
kunyit hidup 5 cm (kalau tak ada kunyit hidup, kunyit serbuk pun boleh digunakan)
cili api (ikut kesukaan - aku memang jenis yang tak tahan pedas so aku guna dalam 6 biji jer)
serai 1 batang
garam
serbuk perasa
serbuk lada sulah
minyak makan
asam keping

Cara memasaknya :
Bawang merah, bawang putih, halia, kunyit hidup dan cili api ditumbuk lumat.  Panaskan minyak yang sedikit dalam kuali. Aku gemar untuk menumis dulu bahan-bahan yang ditumbuk lumat agar masakan menjadi lebih bangkit wanginya. Masukkan daging salai dan ubi kentang.  Masukkan juga serai yang telah dititik.  Masukkan asam keping dan secawan air.  Bila daging mula empuk, masukkan santan, serbuk lada sulah, garam dan serbuk perasa.  Angkat dan hidangkan.


Daging Salai Masak Lemak Cili Api