Wednesday, September 1, 2010

Daging Salai Masak Lemak Cili Api

Aku da lama teringin nak makan daging salai masak lemak cili api dengan belimbing buluh, masalahnya aku tak tahu dimana nak cari daging salai.....selalu gak aku bertanya dengan staff kat pejabat mana nak beli daging salai, ada yang kata kat pasar malam, ada yang kata kat pasar tani...aduyaii..aku jarang ketempat-tempat macam tu.  Hari Selasa 31 Ogos 2010, aku ke pasaraya Mydin untuk mencari petai.  Aku tak makan petai tapi aku bercadang nak masak sambal daging petai untuk seorang tamu yang akan berbuka puasa di rumahku.  Agaknya da rezeki aku kut, dalam aku melilau mencari petai, kawanku memanggil aku dan menunjukkan daging salai.  Aku pun terus membelinya.  Lain yang aku cari, lain plak yang aku jumpa.  Petai yang dicari tapi daging salai yang aku dapat.
Sampai rumah jer aku pun memulakan projek masak memasakku.  Teruja sangat nak masak daging salai nih.  Sesiapa yang nak mencuba resepi yang aku masak nih, silakan.  Memang sedap dan menyelerakan.  Walaupun aku tak dapat memasaknya bersama belimbing buluh, tapi aku menggantikan dengan ubi kentang.  Lain kali bila dah jumpa belimbing buluh, aku akan cuba masak daging salai masak lemak cili api dengan belimbing buluh pulak.

Bahan-bahannya :-
Daging salai yang telah dihiris dalam anggaran semangkuk
3 biji ubi kentang yang dipotong berbentuk baji (wedges)
Santan kelapa 1 cawan
bawang merah 2 ulas
bawang putih 4 ulas
halia 5 cm
kunyit hidup 5 cm (kalau tak ada kunyit hidup, kunyit serbuk pun boleh digunakan)
cili api (ikut kesukaan - aku memang jenis yang tak tahan pedas so aku guna dalam 6 biji jer)
serai 1 batang
garam
serbuk perasa
serbuk lada sulah
minyak makan
asam keping

Cara memasaknya :
Bawang merah, bawang putih, halia, kunyit hidup dan cili api ditumbuk lumat.  Panaskan minyak yang sedikit dalam kuali. Aku gemar untuk menumis dulu bahan-bahan yang ditumbuk lumat agar masakan menjadi lebih bangkit wanginya. Masukkan daging salai dan ubi kentang.  Masukkan juga serai yang telah dititik.  Masukkan asam keping dan secawan air.  Bila daging mula empuk, masukkan santan, serbuk lada sulah, garam dan serbuk perasa.  Angkat dan hidangkan.


Daging Salai Masak Lemak Cili Api